Untuk Apa Anda Membayar JurugambarPetikan asal dari Majalah Pesona PengantinOleh: Hasnuddin Abu Samah, Pengarah Urusan, Adan Impresif.Apabila anda mengupah seorang jurugambar untuk merakamkan gambar majlis perkahwinan
anda, beliau akan mengenakan sejumlah harga tertentu bagi perkhidmatannya. Sekiranya
anda tidak memahami akan proses yang terlibat dalam menghasilkan gambar perkahwinan,
anda tentu akan menganggap harga yang dikenakan adalah tidak setimpal. Berikut saya
senaraikan 5 kos utama yang sebenarnya terlibat dalam menghasilkan gambar
perkahwinan:
Gambar hiasan : Detik manis yang tidak tidak akan di telan waktu
1) Kos Peralatan Kamera
Untuk menghasilkan gambar perkahwinan yang baik memerlukan kamera yang berkualiti.
Satu set kamera digital yang baik berharga dalam lingkungan RM10,000. Selain dari kos
pembelian, kos pemeliharaan juga diambil kira. Set kamera ini perlu dinaiktaraf,
diservis dan diperbaiki jika berlaku kerosakan. Peralatan digital mengalami susut
nilai yang lebih cepat berbanding peralatan kamera analog. Dengan mengambil kira
semua kos inilah jurugambar mengenakan harga tertentu untuk perkhidmatan mereka. Ini
bermakna, selain mengupah jurugambar, anda juga sebenarnya membayar kos ‘sewa’
peralatan mereka.
2) Kemahiran Jurugambar
Untuk menjadi seorang jurugambar yang baik, seseorang itu perlulah mempunyai
kemahiran fotografi yang tinggi. Selain dari itu, jurugambar juga perlu mempunyai
kemahiran lain seperti kreativiti, pandai berkomunikasi, mempunyai citarasa yang
tinggi dan kemahiran lain. Kemahiran ini hanya dapat dikuasai dengan pengetahuan,
latihan dan pengalaman. Ini bermakna, semakin tinggi kemahiran seseorang jurugambar
itu, semakin tinggi pula harga yang akan dikenakan untuk perkhidmatannya.
3) Masa Perkhidmatan
Jurugambar adalah seorang profesional. Ini bermakna, beliau hanya akan mendapat
bayaran dari kerja perkhidmatan yang dilakukan. Seseorang jurugambar cuma boleh
merakam gambar untuk satu majlis sahaja pada sesuatu masa. Ini bermaksud, masa adalah
satu faktor yang amat bernilai kepada seseorang jurugambar. Dengan itu, jurugambar
mengenakan harga untuk perkhidmatannya berdasarkan berapa lama masa yang perlu
diambil untuk sesuatu tugasan.
4) Perkhidmatan Selepas Rakaman
Setelah jurugambar selesai merakam gambar untuk majlis perkahwinan anda, tugas beliau
sebenarnya tidak habis di situ sahaja. Beliau perlu menyunting kesemua gambar yang
telah dirakam dengan memilih gambar yang terbaik sahaja. Sekiranya perlu, gambar yang
terpilih akan diperbaiki lagi dari segi kecerahan, kontras, warna, ketajaman,
komposisi dan sebagainya. Seterusnya, barulah gambar anda tadi akan dicetak. Selepas
cetakan gambar siap, jurugambar akan meneliti kembali kualiti cetakan gambar. Gambar
yang tidak sempurna akan dicetak kembali agar mencapai tahap kualiti yang
dikehendaki. Akhir sekali, kesemua gambar-gambar tersebut akan disusun ke dalam album
sebelum diserahkan kepada pelanggan.
5) Kos Material
Selain dari kos perkhidmatan yang disebutkan di atas, kos material juga terlibat
dalam menentukan harga perkhidmatan seseorang jurugambar. Antara kos material yang
terlibat ialah kos pengangkutan, cetakan gambar, album, bil telefon, kos promosi
serta lain-lain kos peniagaan. Dengan mengetahui kos sebenar yang terlibat dalam
menghasilkan gambar perkahwinan, diharap anda akan lebih menghargai peranan seorang
jurugambar walaupun anda terpaksa mengeluarkan sejumlah wang untuk membayar
perkhidmatannya. Walau apa pun, sememangnya berbaloi untuk membelanjakan wang kepada
sesuatu yang boleh anda tatap sehingga ke akhir hayat. Tambahan pula, ianya adalah
gambar hari yang paling bahagia dalam hidup anda.
Jadi fikir-fikirkan lah...
Antara duit dan kenangan, duit boleh cari, tapi kenangan manis datang hanya sekali.